DENGKIL - Lebih 50 peratus daripada 1,020 orang yang ditahan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini kerana mengedar dan menjual rokok tidak sah adalah warga asing, demikian menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing yang terlibat dalam penjualan rokok tidak sah.
Antara tindakan yang boleh dikenakan termasuk membatalkan lesen perniagaan dan menarik balik penyewaan premis-premis perniagaan yang dimiliki oleh agensi-agensi kerajaan, katanya.
"Kita akan mendapatkan bantuan pihak berkuasa tempatan untuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap peruncit yang terlibat dalam penjualan rokok tidak sah," katanya
Pada majlis pelupusan rokok-rokok lucut hak oleh JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Bahagian Penguatkuasaan JKDM di sini hari ini, Matrang berkata, sebanyak 495 juta batang rokok tidak sah dengan nilai duti dan cukai terlibat sebanyak RM255.28 juta dirampas antara Januari dan Oktober tahun ini.
Seramai 498 individu pula telah didakwa di mahkamah dengan denda melibatkan RM2 juta, katanya.
Sambil mengingatkan bahawa menyimpan, memiliki dan mengangkut rokok seludup  merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967, beliau berkata sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksima penjara tiga tahun
atau denda atau 20 kali ganda nilai barangan atau kedua-duanya sekali.
Mengenai pelupusan rokok pada hari ini, Matrang memaklumkan sebanyak 27.2 juta batang atau 23.59 tan rokok putih dan rokok kretek dimusnahkan dengan kerjasama Gabungan Pengilang dan Pengimport Tembakau Malaysia (GPTM).
"Rokok-rokok tersebut merupakan rokok tidak sah yang disita dari tahun 1997 hingga 2014 yang melibatkan sembilan kertas siasatan yang telah mendapat kelulusan pelupusan daripada Kementerian Kewangan," katanya.
Nilai keseluruhan rokok yang dimusnahkan hari ini ialah RM2.8 juta dan melibatkan duti cukai sebanyak RM16.82 juta, katanya. - Bernama