Monday, February 21, 2022
Saturday, February 19, 2022
MAQIS DAN ISU TRANSHIPMENT DAGING "2021"
PUTRAJAYA- Surat yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengenai kelonggaran syarat izin import bukan bertujuan memudahkan daging haram dibawa masuk ke dalam negara.
Ia susulan dakwaan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris
yang mengaitkan surat berkenaan yang konon menjadi punca penguatkuasaan di
pintu masuk negara longgar menyebabkan daging haram itu bebas dibawa masuk.
Jelas Maqis, surat yang dimaksudkan ialah pemakluman kepada
semua pegawai di lapangan termasuk di semua pintu masuk negara tentang
ketidakperluan permit import untuk semua dagangan di bawah kawalan Maqis iaitu
tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma
bagi aktiviti transhipment di semua pintu masuk.
Bagaimanapun, pemakluman tersebut tidak melibatkan Sabah dan
Sarawak kerana ia dikawal sepenuhnya pihak kastam di semua pintu masuk dengan
penggunaan Manifest Transhipment K6.
“Keputusan itu telahpun diputuskan di peringkat pelbagai
agensi, jabatan dan kementerian yang berkaitan.
“Untuk makluman, transhipment atau pindah kapal bermaksud kemasukan sesuatu komoditi di satu pintu masuk negara dan keluar pada pintu masuk yang sama, manakala aktiviti transit ialah pergerakan masuk dan keluar di dua pintu masuk yang berlainan
“Transhipment bukanlah salah satu aktiviti import dan ia
bukan kaedah dagangan yang tujuan utama untuk kegunaan masuk ke negara seperti
mana pemahaman orang ramai berkenaan maksud transhipment,” menurut Maqis dalam
satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelas kenyataan itu, untuk surat berkenaan, hanya aktiviti
transhipment sahaja dikecualikan permit import di mana aktiviti transit masih memerlukan
surat kebenaran atau pas transit daripada pihak Maqis.
Katanya, transit dan transhipment untuk kegunaan negara ketiga
dan Malaysia merupakan salah sebuah negara persinggahan bagi tujuan pertukaran
pengangkut.
Jelasnya, surat tersebut juga memaklumkan syarat utama bagi
membolehkan aktiviti transhipment dilakukan iaitu melibatkan full container load
(FCL).“Manifest Transhipment K6 hendaklah dikemukakan dengan maklumat
yang terperinci dan lengkap.